Print
Category: Profil
Hits: 37323

Assalamualaikum..

Saya mengucapkan Selamat Datang kepada pengunjung-pengunjung ke Laman Web Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu.Laman Web ini diharap akan dapat menambah maklumat tentang keistimewaan Daerah ini kepada pengunjung-pengunjung di samping memperkenalkan perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawar oleh Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu kepada orang awam.

Untuk makluman pengunjung-pengujung, Daerah ini memang terkenal sebagai Daerah yang mempunyai sejarah yang panjang dimana pusat pentadbiran negeri Terengganu di zaman silam dikatakan bermula di Daerah ini terutamanya dengan bukti terjumpanya batu bersurat di Kampung Buloh pada tahun 1902M yang menunjukan Agama Islam telah mula bertapak di negeri ini sejak kurun ke-13 lagi.

Bandar Kuala Berang pada ketika itu dikatakan adalah sebuah pelabuhan yang sibuk dimana ramai pedagang yang datang berniaga. Kini Daerah Hulu Terengganu bertambah ternama dengan wujudnya tasik buatan manusia terbesar di Asia Tenggara dimana 340 buah pulau wujud kerananya. Tasik buatan manusia berkenaan sekarang terkenal sebagai Tasik Kenyir.

Dengan wujudnya Tasik Kenyir ini, aktiviti pelancongan berkaitan air serta `Agro tourism’ menjadi bertambah penting di daerah ini disamping tempat-tempat tarikan pelancong alam semulajadi yang sediada seperti Air Terjun Sekayu, Taman Rekreasi Belukar Bukit dan Kawasan Hutan yang sesui untuk ekspedisi.Untuk meningkatkan lagi kemajuan, pertumbuhan ekonomi di kawasan berhampiran Tasik Kenyir, Kerajaan telah merancang bagi membuka pusat pertumbuhan baru di kawasan berhampiran Pengkalan Gawi, pembinaan jalan yang menghubungkan Daerah Hulu Terengganu ke Daerah Gua Musang, Kelantan dan Ipoh Perak.

Sebagai Daerah pendalaman aktiviti pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang utama, 88% penduduknya terlibat dalam sektor pertanian.Selain dari getah, kelapa sawit, padi dan buah-buahan, jagung merupakan satu tanaman yang terkenal dan sinonim dengan Daerah ini. Berkunjunglah ke Daerah ini bagi menikmati suasana percutian Agro-tourism, Akuakultur yang menarik dan air terjun yang menjanjikan kepuasan dan menyegarkan.

Sekian.